Ganjaran Melaksanakan Puasa Enam Syawal | Kini kita sudah memasuki minggu kedua dalam bulan syawal. Rata-rata daripada kita ada yang sudah melaksanakan puasa enam syawal. Namun di sini ada yang keliru dan tertanya-tanya, adakah kita perlu melaksanakan puasa qadha terlebih dahulu baru boleh melakukan puasa enam. Terdapat tiga pandangan dalam hal ini. Jom kita lihat apakah pandangan berdasarkan dalil yang diberikan di bawah ini.
Diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansariy bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Barang siapa yang berpuasa pada bulan
Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal adalah
seperti puasa setahun penuh. ( Hadis Riwayat Muslim)
Hadis di atas menunjukkan betapa beristiqamah dalam melakukan ibadah puasa menghasilkan ganjaran dan pahala yang banyak di sisi Allah.
Justeru, apabila selesai menunaikan puasa di bulan Ramadhan, tidak
wajar terhenti amalan puasa setakat itu sahaja, bahkan amat digalakkan
untuk meneruskan amalan puasa dalam bulan Syawal sebagai suatu
kesinambungan daripada puasa Ramadhan.
Puasa enam hari dalam bulan Syawal boleh
dilakukan secara berturutan atau pun tidak. Hal ini kerana ungkapan
hadis itu bersifat mutlak iaitu boleh memilih mana-mana enam hari dalam
bulan Syawal untuk melaksanakan puasa sunat. Namun begitu, bersegera dalam melaksanakan puasa enam adalah lebih utama.
Begitu juga tidak diwajibkan untuk melaksanakan puasa enam dalam bulan
Syawal secara terus menerus akan tetapi hal itu adalah lebih utama. Kata
Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni Muhtaj, puasa enam
elok dilaksanakan secara berturut-turut tetapi sekiranya dilakukan
secara berselang-seli juga tidak menjadi satu kesalahan.
Antara fadilat puasa enam ialah
mereka yang melaksanakan puasa enam akan diberi ganjaran seperti
berpuasa setahun sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas.
Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan
mendatangkan dalil daripada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang
riwayat Imam an-Nasai bermaksud: “Berpuasa pada bulan Ramadan
seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam pada bulan
syawal seperti berpuasa dua bulan.”
Manakala di dalam kitab Sabil al-Muhtadin
pula, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari
sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada bulan Ramadan diganjari
sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula
diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia
menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Tambahan daripada itu, sebagai manusia
yang menjadi hamba kepada Allah, alangkah baiknya seandainya amalan
puasa yang diwajibkan ke atas kita pada bulan Ramadan ini kita teruskan
juga pada bulan Syawal, walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah
menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana
terpaksa atau kewajipan semata-mata tetapi kita melakukannya kerana rasa
diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh
untuk taqarrub kepada Tuhannya. Semuanya bertujuan membersihkan diri dan
menundukkan hawa nafsu.
Antara manfaat puasa enam hari pada bulan
syawal juga adalah sebagai kesinambungan amalan yang dikerjakan seorang
hamba untuk mendekatkan diri kepada Rabbnya pada bulan Ramadhan tidak
terputus dengan berlalunya bulan mulia ini.
Oleh kerana itu sebaiknya orang yang
memiliki hutang puasa Ramadhan memulai membayarnya di bulan Syawal,
kerana hal itu mempercepat proses pembebasan dirinya daripada tanggungan
hutangnya. Kemudian dilanjutkan dengan enam hari puasa Syawal, dengan
demikian ia telah melakukan puasa ramadhan dan mengikutinya enam hari di
bulan Syawal.
Namun begitu, dalam hal mana yang perlu
diutamakan sama ada berpuasa qada’ terlebih dahulu atau berpuasa sunat
enam hari dalam bulan Syawal, terdapat 3 pandangan mengenainya, iaitu:
1. Pandangan Pertama : Qadha dahulu , kemudian barulah kerjakan puasa sunat.
Dalilnya ialah hadis nabi “sesiapa yangg berpuasa Ramadhan dan diikuti
dengan 6 hari dalam bulan Syawal, maka akan mendapat pahala sepanjang
tahun”. Jadi, dalam hadis ni menyatakan kena selesaikan puasa ramadhan
dahulu, kemudian dilengkapkan dengan puasa sunat syawal. Oleh yang
demikian, hendaklah diqadha terlebih dahulu puasa Ramadhan yang
ditinggalkan, kemudian barulah sambung dengan puasa sunat.
2. Pandangan Kedua:
Laksanakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu, kemudian baru qadha’. Hal
ini disebabkan puasa sunat Syawal waktunya terhad hanya dalam bulan
Syawal sahaja, manakala qada’ puasa boleh dibuat dalam jangka masa yang
lebih panjang. Ia berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah
mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke bulan
Syaaban akan datang. Aisyah berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan
Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana
sibuk (melayani) Rasulullah SAW.” (Sahih Muslim). Ulama yang
mengemukakan pendapat ini berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri
Rasulullah SAW, iaitu Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal.
Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan
pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal
sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.
3. Pandangan Ketiga:
hendaklah berniat puasa qada’ dan apabila puasa qada’ tersebut
berbetulan dgn hari-hari yang disunatkan, maka akan mendapat pahala
puasa sunat sekali. Ia berdasarkan Ijtihad dan pandangan yang telah
dikemukakan oleh para ulama fiqh seperti Syeikh Zakariyya al-Ansoriy,
Syeikh ‘Atiyyah Saqr dan kebanyakan ulama’ Syafi’yyah. Apabila
amalan wajib dilakukan bertepatan dengan waktu yang disunatkan, maka
pahala sunat akan turut diperoleh. Contohnya apabila masuk ke dalam
masjid dan didapati solat fardu sedang dikerjakan maka hendaklah terus
menunaikan solat fardu berjemaah dan pahala sunat tahiyyatul masjid juga
akan terhasil. Syeikh Zakariyya al-Ansoriy menyatakan apabila
berpuasa qada’ dalam bulan Syawal, maka pahala puasa enam akan turut
diperoleh kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar
berpuasa di bulan Syawal.
Kesimpulannya, hendaklah diqada’
terlebih dahulu puasa untuk membayar hutang yang wajib terlebih dahulu,
dan sekiranya ada kesempatan lagi. Boleh diteruskan pula dgn puasa
sunat. Akan tetapi kalau tidak berkesempatan, maka moga-moga puasa qada’
yang dilakukan pada bulan Syawal itu akan mendapat pahala puasa enam
sekali.
sumber : Melayukini.net