Kisah Seorang Jururawat Memeluk Islam - Seorang jururawat dari Amerika Syarikat bercerita mengenai perjalanannya memasuki agama suci kita, Islam.
Pertama kali aku mendengar bicara mengenai Islam ialah ketika sedang
menonton satu program di TV. Aku ketawa mendengar apa yang diperkatakan
oleh mereka.
Setahun selepas itu, sekali lagi aku mendengar tentang ajaran Islam. Kamu tahu di mana? Di hospital tempat aku bekerja.
Hari itu sepasang suami isteri datang membawa seorang wanita tua yang
sakit tenat. Si isteri duduk di hadapan tempat dudukku memerhatikan aku
menjalankan tugasku. Aku perhatikan dia benar-benar dalam keadaan
resah. Sekali sekala dia mengesat air matanya yang tak henti-henti
mengalir.
Acuh tak acuh aku bertanya kenapa dia begitu sedih dan menangis tak
henti-henti? Katanya, dia dan suami datang dari jauh, mencari tempat
untuk merawat ibu mertuanya. Sambil bercakap dia tidak reda menangis dan
berdoa agar ibu mertuanya sembuh dan kembali pulih.
Aku tergamam. Kagum dan kaget. Dia datang dari jauh bersama suami
semata-mata bertujuan untuk merawat ibunya. Tiba-tiba aku teringatkan
ibuku. Aku bertanya kepada diri sendiri, di mana ibuku? Sudah empat
bulan aku tidak bertemu dengannya dan sampai saat ini aku tidak terfikir
untuk menziarahinya. Itu ibuku sendiri, bagaimana pula kalau ibu
mertuaku?
Sungguh. Aku benar-benar kagum melihat suami isteri ini, lebih-lebih
lagi keadaan ibu sangat tenat, harapan untuk hidup dan sembuh terlalu
tipis. Dan yang lebih mengkagumkan aku ialah si isteri. Apa masalah dia,
walhal yang sakit ibu suaminya. Buat apa dia menyusahkan diri memberi
perhatian kepada wanita tua yang bukan ibunya, pada hal dia seorang
perempuan muda dan cantik? Kenapa?
Itulah persoalan yang berlegar di dalam benakku. Segenap ruang dalam
fikiranku seoalah-olah dipenuhi persoalan itu sahaja!
Aku bayangkan
diriku berada di tempat wanita tua yang sedang bertarung dengan kematian
itu. Alangkah bahagianya ku rasa! Alangkah beruntungnya wanita tua itu!
Sungguh aku cemburu akan keberuntungannya! Suami isteri yang baik itu
berada di sisinya sepanjang waktu. Panggilan telefon dari luar pula
hampir tidak putus bertanyakan hal keadaan ibu tua yang sedang sakit
tenat.
Suatu hari ketika aku masuk ke ruang menunggu, aku dapati si isteri
sedang bersendirian di situ. Aku menggunakan kesempatan itu untuk
bertanya beberapa soalan yang aku inginkan jawapannya. Aku begitu
terpukau mendengar penjelasannya tentang hak ibu bapa di dalam Islam dan
betapa Islam mengangkat darjat kedua-duanya serta bagaimana sepatutnya
kita berinteraksi dan melayani kedua-dua ibu bapa.
Beberapa hari kemudian ibu tua pun meninggal dunia. Wanita muda dan
suaminya menangis sekuat-kuatnya seperti kanak-kanak yang masih kecil.
Selepas itu keadaan suami isteri muda dan hak ibu bapa dalam Islam
terus menghantui fikiranku. Aku menulis surat kepada sebuah pusat Islam
meminta buku-buku mengenai hak ibu bapa dalam Islam. Setelah membacanya,
aku hidup dalam mimpi indah yang tidak pernah pergi dari sisiku.
Aku bayangkan aku seorang ibu yang mempunyai anak-anak yang sangat
menyayangiku, sentiasa mengambil berat tentang diriku dan berbakti
kepadaku sehingga ke penghujung usiaku tanpa mengharap apa-apa balasan
daripadaku. Dengan mimpi yang indah itu membuatkan aku terus
mengisytiharkan keislamanku walaupun aku belum mengetahui apa-apa
tentang Islam kecuali hak ibu dan bapa. Alhamdulillah aku telah
berkahwin dengan seorang lelaki yang juga baru memeluk Islam dan kini
telah dikurniakan beberapa orang anak yang aku sentiasa doakan.
Sumber : gigitankerengga.blogspot