Peminat
bersorak girang melihat aksi awek bertudung di atas pentas. Bersorak bukan
kerana awek bertudung itu beraksi ghairah di atas pentas, tetapi bersorak
girang melihatnya hebat menyanyi. Kelunakan suaranya membuatkan peminat
terpana.
Kepala yang disarung tudung menyebabkan peminat lebih dekat kepadanya. Kononnya
awek yang bertudung adalah perempuan yang baik dan wajar untuk dicontohi.
Inilah pemikiran sempit yang membelenggu umat Islam hari ini, akibat daripada
penerapan hukum sekular. Asalkan bertudung sahaja, mereka itu membawa imej
Islam.
Masyarakat menjadikan artis sebagai contoh, bukan al-Quran dan as-Sunnah
sebagai sandaran undang-undang. Sekiranya artis itu bertudung, tudung seperti
itulah yang akan dicontohi fesyennya, tanpa mengikut hukum syarak. Lazimnya,
tudung ketat dan tudung yang tidak menutup dada sehingga menampakkan bentuk
kedua-dua 'bukit' wanita sering dijadikan tudung contoh.
وَقُل
لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا
يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ
عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ
آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ
بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي
أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ
التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ
الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ
بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى
اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang
zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan
tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka
atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka,
atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau
hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan
tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi
tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk
diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya
kamu berjaya. [an-Nur:31]
Inilah peranan artis bertudung. Memesongkan ummat daripada ajaran Islam yang
sebenar. Kononnya mereka bertudung, merekalah contoh ikutan yang wajar diikuti.
Walhal, mereka tidak menutup aurat seperti mana yang Allah telah tetapkan.
Maka, peminat yang mengikut gaya fesyen artis ini turut sama masuk longkang
bersama-sama artis pujaan mereka.
Mereka bukanlah membawa ajaran sesat mahupun menyesatkan aqidah umat Islam,
tetapi peranan mereka amat besar sekali untuk menjadi ejen Barat untuk
menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam. Perkara ini adalah hakikat yang
harus ditelan walaupun pahit oleh peminat-peminat. Artis yang terbabit juga
harus menelan hakikat ini, kerana mereka secara tidak sedar dan tidak rasmi
menjadi ejen-ejen Barat dalam memesongkan umat Islam daripada ajaran Islam!
Ini baru diperhatikan daripada aspek tudung. Bagaimana pula dengan aksi-aksi
mereka menonjolkan diri di khalayak umum meliuk-lentokkan tubuh mereka yang
disarung dengan baju ketat serta mengenakan solekan yang berlebihan yang bisa
menggetarkan jiwa lelaki normal? Hal aurat tidak lagi diambil peduli. Peminat
terus memuji artis-artis bertudung dengan pujian yang lebih kurang, "Saya
suka awak bertudung. Kekalkan imej bertudung". Begitu mudah hati ummat
dibutakan dengan bertudung. Seolah-olah bertudung itu merupakan lesen untuk
menyanyi dan menonjolkan diri di khalayak ramai!
Inilah kesan daripada penerapan hukum sekular yang lahir daripada akal manusia
semata-mata. Undang-undang dicipta berdasarkan majoriti 2/3 undi di dalam
parlimen. Artis juga tidak terkecuali daripada terkena bahana-bahana
sekularisme.
Buktinya, tudung yang dipakai oleh para artis walaupun tidak mengikut hukum
syarak diislamkan. Mereka telah mengislamkan trend supaya tindakan mereka itu
adalah mengikut hukum syarak. Bertudung tapi menyanyi, berpakaian ketat pun, 'tepati
syarak' juga, dan ummat tergila-gila untuk mencontohi fesyen tudung itu.
Sedarlah, Nabi Muhammad SAW itulah contoh ikutan terbaik, bukan para artis!
Sedarlah, artis-artis itu sedang menyesatkan kita dalam diam. Mahukah kita
masuk longkang bersama-sama artis itu?
*****
لَّقَدْ
كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ
وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu
(yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat
dan dia banyak menyebut Allah. [al-Ahzab (33):21].