Kerajaan perpaduan yang diuar-uarkan selama ini telah senyap begitu sahaja. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pihak yang masih dibuai mimpi dengan kancah politik negara yang kian tidak menentu ini. Seperti yang diketahui umum, kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti negeri perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai kerajaan perpaduan dan ulasan beliau mengenai idealogi antara UMNO dan PAS telah dibidas oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Perak melalui setiausahanya iaitu Dr Raja Ahmad Al-Hiss. Tambahan pula, Dr Raja Ahmad juga berkata bahawa kenyataan yang dilontarkan oleh mufti perak tersebut lebih menyebelahi UMNO. Tambahan pula, beliau juga menyatakan bahawa seorang mufti tidak boleh memihak kepada mana-mana parti politik dan seharusnya menjadi penasihat Agama kepada Paduka Seri Sultan. Bagaimanakah seorang islam yang mempunyai status ‘Dr’ yang bukannya sembarangan orang boleh memberikan kenyataan tersebut.
Pada pandangan hamba, tindakan yang dilakukan oleh Mufti perak tersebut merupakan satu tindakan yang wajar. Melihat dari persepsi menyeluruh, beliau sebenarnya menegur kedua-dua pihak dalam menegakkan idealogi politik masing-masing dan tidak lupa yang kita semua masih lagi serumpun sebangsa dan seagama. AGAMA ISLAM!!! Teguran Yang Dilakukan Jelas Menunjukkan Keperihatinan beliau terhadap saudara seagamanya. Hamba juga sering menggeleng kepala apabila melihat telatah pemimpin diantara kedua – dua belah pihak menegakkan idealogi masing-masing. Apa yang perlu ditekankan di sini ialah sekadar niat dan cita yang baik sahaja tidak mencukupi bagi membangunkan sebuah negara Islam yang ampuh. Oleh itu, kaedah juga penting dalam melaksanakan sesuatu cadangan dasar atau sesuatu pelaksanaan. Bukankah tugas tegur menegur sesama kita ini amat dianjurkan dalam islam? Oleh itu, mengapa perlu membidas seorang mufti yang tinggi ilmu agamanya dan penuh prihatin. Siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya. Isu murtad contohnya, setahu hamba, mufti perak yang banyak bersuara dan mendedahkan betapa parahnya pegangan akidah umat islam di Malaysia ini. Bukankah ini juga tanggungjawab kita juga sebagai umat islam wahai ahli – ahli Dewan Pemuda Pas Perak? Yang bezanya adalah kemampuan kita berjuang. Bagi yang mempunyai kuasa lebih, tanggungjawabnya pun lebih begitulah sebaliknya. Oleh itu, sememangnya tidak berasas segala bidasan yang dikemukakan kepada Tan Sri Harussani Zakaria.
Hamba juga mengambil kesempatan ini mahu orang Melayu berfikir sejenak mengenai nasib bangsa sendiri yang makin tergugat oleh ancaman luar dan dalam. Seringkali ada yang bertanya pada hamba, perlukah kita perjuangkan Melayu sedangkan kita sepatutnya perjuangkan islam. Pemikiran dina hamba ini pula berfikiran kita sememangnya memerlukan ‘Melayu’. Melayu ini kita jadikan sebagai medium dan islam sebagai asas dan pegangan. Ketahuilah, islam datang ke Tanah Melayu dahulu bukannya menghapuskan terus amalan-amalan masyarakat tempatan, tetapi melalui penerapan nilai – nilai murni oleh pendakwah yang berhikmah. Berhikmahkah orang – orang islam yang mengatakan mereka perjuangkan islam sekarang? Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri membangunkan sebuah negara islam (Madinah) dahulu sebelum agama islam betul – betul ampuh sebagai agama yang syumul, yang kukuh lagi ampuh. Gunakanlah Melayu itu sebagai medium atau ‘Kota’ tersebut dan kemudian setelah adanya perpaduan dalam kalangan Melayu kita, InsyaAllah islam mampu menguasai keseluruhan aspek ekonomi,sosio dan politik negara. Hamba menyeru supaya kita semua sedar bahawa Allah s.w.t memberikan title Melayu itu sebagai salah satu nikmatnya kepada orang – orang tertentu. Sekian serba ringkas dari hamba…
0 comments:
Post a Comment