Powered By Blogger

Wasiat Nabi Muhammad s.a.w Ketika Terjadi Fitnah

Petaka dan bencana yang akan terjadi pada akhir zaman adalah sangat berat. Muslim merekodkan kata-kata Nabi, “Beribadah pada zaman yang penuh dengan kekacauan itu seperti hijrah kepada ku.” Bahkan pada waktu itu orang yang hidup mahu supaya kematian segera menjemputnya. 

Ketika berbagai-bagai fitnah terjadi, Nabi Muhammad s.a.w berwasiat seperti berikut : 

a. Jangan Mendekati Fitnah

Ketika fitnah terjadi, hendaklah orang yang mahu selamat tidak mendekatinya. Abu Daud merekodkan, Nabi berkata sambil menjalin jari-jemari beliau, “bagaimana kalau kamu hidup di tengah-tengah manusia yang buruk, yang sudah rosak perjanjian-perjanjian serta amanat-amanat  mereka? Mereka saling berselisihan dan terus-menerus dalam keadaan begitu?”

Abdullah bertanya, “jadi, apa yang tuan mahu kami lakukan?”

Nabi menjawab, “ duduk diamlah dalam rumahmu, begitu juga keluargamu dan tahanlah lisanmu. Ambillah apa yang kamu ketahui dan tinggalkanlah apa yang kamu ingkari. Buatlah urusanmu sendiri dan tinggalkanlah urusan manusia umum.”

 

b.  Taat Kepada Pemimpin

Ketika para pemimpin muslim berbuat zalim dan tiada sesiapa yang mampu menghalangnya, hendaklah kita tetap mentaatinya. Huzaifah bin Al-Yaman dalam hadis Muslim merekodkan Nabi Muhammad s.a.w berkata, “akan muncul sesudahku para pemimpin yang tidak melakukan sesuatu sesuai dengan petunjukku serta tidak mengikuti sunnahku. Di tengah-tengah mereka akan lahir generasi yang hati mereka adalah hati-hati syaitan dalam jasad manusia.”

Huzaifah bertanya, “Wahai rasul Allah, apakah yang mesti saya lakukan apabila saya berdepan keadaan seperti itu?”

Nabi menjawab, “dengarkan dan taati perintah, meskipun punggungmu terpaksa disebat dan hartamu dirampas.” 

c. Bersabar

Salah satu cara menghadapi pelbagai fitnah dan bencana yang terjadi pada akhir zaman adalah dengan bersabar. Al-Hakim merekodkan pesanan nabi Muhammad s.a.w, katanya, “wahai Abu Zar, bagaimana jika saudara hidup di tengah-tengah keburukan dan kejelekan?” Beliau pun menjalin jari-jemari tangannya.
Abu Zar bertanya, “apakah yang tuan mahu saya lakukan, wahai rasul Allah?”

Nabi menjawab, “bersabarlah, bersabarlah. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak-akhlak mereka dan bantahlah amalan-amalan mereka.”

Dalam rekod Ahmad, Khalid bin Urfathah memberitahu pesanan Nabi Muhammad s.a.w mengenai cara-cara menangani fitnah pada akhir zaman. Nabi Muhammad s.a.w berkata, “wahai Khalid. Sepeninggalanku nanti akan terjadi pelbagai peristiwa, fitnah, perpecahan dan perselisihan. Apabila hal itu terjadi dan sekiranya saudara sanggup menjadi hamba Allah yang terbunuh dan bukan yang membunuh, maka lakukanlah.”

[Sumber : Bencana Akhir Zaman : Berpandukan Al-Quran & Hadis - Fahrur Muis]

Demikianlah pesanan dan wasiat Nabi Muhammad s.a.w kepada umatnya. Oleh itu, wajiblah kita memupuk dan bermuhasabah diri mengenai keadaan diri kita mutakhir ini. Bagaimana sekiranya Rasulullah s.a.w tiba-tiba ada dengan masyarakat kita sekarang. Sudah pasti baginda menangis melihat umatnya berpecah belah dalam soal yang remeh-temeh sedangkan musuh-musuh Islam bahagia mengambil kesempatan atas keadaan ini. Apalah guna kewujudan parti-parti politik, perjuangan yang dipupuk selama ini, UMNO, PAS, PKR dan lain-lain parti sedangkan kesedaran ummah tiada. Masing-masing menegakkan kebenaran perjuangan masing-masing sehingga sanggup bermusuh dengan saudara seagama...

Mana perginya kesedaran orang yang banyak ilmu agama untuk membimbing, yang kurang ilmunya membuka minda untuk belajar, saling menghormati sesama sendiri dan sayang akan agama. Semangat dengan perjuangan agama tidak salah, apa yang salah ialah taksub dengan kumpulan yang jelas ketika ini. Ada yang sokong parti berhaluan Islam tetapi diri pun masih terumbang - ambing dalam melaksanakan rukun iman dan rukun Islam. Ada pula yang menyokong parti sebaliknya, dan menutup pintu hati menerima apa yang benar dan membaiki apa yang salah. Sama-sama kita tanya diri kita. Hal ini akan menjadikan agama sebagai bahan perjuangan dan masyarakat yang tidak bersalah sebagai mangsa keadaan. Pesanan dan wasiat Nabi Muhammad merupakan penawar bagi masalah ini. Bukan bermakna berdiri di atas pagar, tetapi kesedaran untuk memelihara agama dalam diri juga merupakan jihad terbesar di sisi Allah s.w.t.  Wallahualam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...