INTRO
Cinta ini mengasyikkan sehingga si Majnun melupakan dirinya dan asyik
mengingati kekasihnya laila. Dia berkata dalam rangkap syairnya:
“ Aku cuba untuk melupakan untuk mengingatinya tetapi seolah-olah
Laila menjelma dalam diriku pada setiap keadaan”
Setiap manusia ada benda yang dicintainya samada wanita, harta, tahkta,
dunia, dirinya dan sebagainya. Kita hendak lihat ditahap mana cinta
kita. Di bawah ulama telah menggariskan lima jenis cinta.
LIMA JENIS CINTA
Lima jenis cinta adalah seperti berikut:
PERTAMA: Cinta kepada Allah swt. Cinta Allah sahaja tidak cukup untuk
bebas dari azab Allah swt kerana orang-orang musyrikin dan penyembah
berhala juga mencintai Allah swt. Mereka mempunyai jenis cinta yang
keempat iaitu syirkul mahabbah.
KEDUA: Menyintai apa yang Allah cintai. Inilah yang membezakan diantara
orang Islam dan orang kafir. Orang yang paling disayangi oleh Allah
adalah orang yang paling kuat cinta jenis ini. Apa yang dicintai oleh
Allah swt adalah begitu banyak disebut dalam al-Quran dan hadis
Rasulullah saw. Antaranya yang disebut dalam al-Quran adalah:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang dijalan-Nya
dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan
yang tersusun kukuh.”
Ayat 4 surah as-Saff.
Ada lapan golongan yang dikasihi Allah seperti dalam al-Quran iaitu 1.
Al-Muttaqun. 2. Al-Muhsinun. 3. As-Sabirun. 4. At-Tawwabun. 5.
Al-Mutatahhirun. 6. Al-Mutawakkilun. 7. Al-Muqsitun 8. Al-Muqatilun fi
sabilillah. InsyaAllah saya akan terangkan dalam artikel akan datang.
Adapun perkara yang dikasihi Allah swt dalam hadis adalah seperti berikut:
“ Seseiapa yang cinta untuk bertemu dengan tuhan , Allah juga cinta untuk menemuinya.”
Hadis sahih Bukhari (2443)
Allah swt berfirman dalam hadis qudsi:
“ Tidak ada perkara yang lebih mendekatkan hambaku denganku daripada
kefarduan yang aku fardukan kepadanya. Hambaku sentiasa mendekatkan
diriku dengan amalan-amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya.”
Hadis sahih riwayat Bukhari (6137)
KETIGA: Menyintai sesuatu kerana Allah swt.
Nabi saw bersabda:
“ Sesiapa yang menyintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi
kerana Allah dan menegah kerana Allah sesungguhnya telah sempurna
imannya.”
Hadis riwayat Tirmizi (2521), Abu Daud, Ahmad dan Hakim dengan sanad yang hasan.
Nabi saw juga bersabda:
“ Tidak ada dua orang lelaki berkasih sayang kerana Allah melainkan
yang terbaik diantara keduanya adalah yang paling mengasihi
saudaranya.”
Hadis riwayat Hakim dan diakui oleh zahabi akan kesahihannya.
KEEMPAT: Cinta sekutu (partnership love) atau syirkul mahabbah
Setiap benda yang dicintai bukan kerana Allah dan bukan diperintah oleh
Allah maka dia telah mensyirikkan cinta. Ramai yang menyintai Allah ,
tapi dalam masa yang sama dia menyintai benda lain bukannya kerana
Allah. Inilah yang dirakamkan dalam al-Quran:
“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah
tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana
mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat
cintanya kepada Allah.”
Ayat 165 surah al-Baqarah
KELIMA: Cinta yang semula jadi.
Inilah yang disebut oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran:
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang
diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari
jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah
ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat
kembali yang baik (surga).”
Ayat 14 surah Ali Imran
Imam Ibnu Qayyim berkata:
“ Cinta ini tidak dicela kecuali sekiranya melalaikan dari mengingati Allah dan menjauhkan dari cintaNya.”
Firman Allah swt:
"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan
kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka
mereka itulah orang-orang yang merugi."
Ayat 9 surah al-Munafiqun.
0 comments:
Post a Comment