Powered By Blogger

HUKUM MENGENAI JANGGUT



Hukum berkaitan dengan janggut masih menjadi perbahasan di kalangan umat Islam hari ini sedangkan hukumnya telah pun disepakati oleh ulama mujtahidin sekian lama.
Berkata Imam Ibn Hazm al-Andalusi (rh);
“Telah sepakat para imam, bahawa mencukur janggut adalah perbuatan keji, tidak dibolehkan” (al-Muhalla)
Di antara dalil yang dikemukakan oleh para ulama’ adalah berdasarkan hadis-hadis di bawah.
خا لفوا الشركين وفروا اللحي واحفوا الشوارب
Dari Ibn Umar (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda; “Janganlah kamu menyerupai orang-orang musyrikin, peliharalah janggut kamu dan nipiskan misai kamu.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Ibn Umar (ra) berkata bahawa “Kami telah diperintahkan supaya memelihara janggut.” (HR Muslim)
اعفوا اللحي وجزواالشوارب ولا تشبهوابا ليهود والنصارى
Dari Abu Hurairah (ra) berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda,“Peliharalah janggut kamu dan cukurlah misai kamu, jangan kamu menyerupai Yahudi dan Nasrani.” (HR Ahmad)
جزواالشوارب وارخوااللحى
Dari Abu Hurairah (ra) Rasulullah (saw) bersabda, “Cukurlah misai kamu dan peliharalah janggut kamu.” (HR Muslim)
لاتشبهوا با لاعاخم , اعفوا اللحى
Dari Ibn Abbas (ra) berkata: Rasulullah (saw) bersabda; “Janganlah kamu menyerupai ‘Ajam (orang asing dan kafir), maka peliharalah janggut kamu.” (HR Al-Bazzar)
Hadis-hadis di atas adalah hadis bersifat suruhan dan perintah. Maka para ulama telah memutuskan hukum memelihara janggut dan mencukur (menipiskan) misai adalah wajib. Setiap perintah wajib dipatuhi berdasarkan hadis di bawah.
Baginda (saw) bersabda; “Sesiapa yang mentaati aku dia akan masuk syurga, dan sesiapa yang bermaksiat (enggan mematuhi baginda), maka ia telah menolak (menolak sunah dan syurga)” (HR Bukhari)
Dari Anas (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda; “Sesiapa yang tidak suka terhadap sunnahku, maka dia bukanlah golonganku.”(HR Bukhari & Muslim)
Maksud sunnah ialah setiap perkara yang datang dari Rasulullah (saw) sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan dan pengakuan.  Sunnah Rasulullah (saw) ada yang bersifat wajib dan ada yang bersifat mustahab / mandub (sunat). Memelihara janggut adalah sunnah wajib.
AMALAN RASULULLAH (SAW) DAN PARA SAHABAT (RA)
Dari Jabir (ra) berkata; “Sesungguhnya Rasulullah lebat janggutnya.” (HR Muslim)
Kesemua para Khulafa ar-Rasyidin memelihara janggut mereka.
“Adalah Abu Bakr (ra) lebat janggutnya, Uthman (ra) jarang (tidak lebat) janggutnya tetapi panjang, dan Ali (ra) tebal janggutnya.”(HR Tirmizi)
Diriwayatkan Umar (ra) mempunyai janggut yang tebal.  (al-Ishobah, 2/511)
Berkata Bukhari, “Ibn Umar (ra) menipiskan misai sehingga kelihatan kulitnya yang putih dan memelihara janggut dan jambangnya.” (Fathul Bari, Ibn Hajar)
IJTIHAD ULAMA MUJTAHIDIN DAN ULAMA FIQH
Para Imam Mujtahidin yang empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hambali (rh) sepakat mengenai kewajipan memelihara janggut dan haram mencukurnya.
Mazhab Hanafi
Menurut mazhab Hanafi bahawa “Dilarang (diharamkan) bagi lelaki mencukur janggutnya… iaitu memotong janggut kurang dari segenggam.  Mencukur janggut sepenuhnya telah dilakukan oleh Yahudi dan Majusi.” (Durr al-Mukhtar)
Allamah Ibn Abidin (rh) berkata; “Diharamkan bagi lelaki mencukur janggutnya.” (Radd al-Mukhtar)
Mazhab Maliki
Ulama Maliki menyatakan bahawa “Mencukur janggut adalah diharamkan kerana mencukurnya adalah perbuatan keji. Tapi jika ia semakin besar, dan jika memotong tidak dilihat sebagai mencukurnya, maka ia boleh dipotong (trim), tapi ia dikira makruh dan bertentangan dengan apa yang lebih baik.” (Sharh al-Risalah)
Al-‘Adwi (rh) berkata; “Diriwayatkan dari Imam Malik (rh) bahawa beliau tidak menyukai perbuatan mencukur apa-apa yang di bawah rahang, sehingga ia berkata, ‘Ia adalah perbuatan Majusi.’  Dan diharamkan mencukur helaian-helaian janggut” (ibid)
Ibn ‘Abd al-Barr (rh) berkata; “Diharamkan mencukur janggut, ia tidak dilakukan melainkan lelaki yang menyerupai perempuan.”(At-Tahmid)
Mazhab Syafi’i
Imam Syafi’i (rh) dalam kitab al-Umm menegaskan bahawa,“Mencukur janggut adalah haram hukumnya tanpa ‘illah (iaitu pengharamannya tanpa dalih-dalih lagi).”
Berkata Ibn Rif’ah (rh) dalam Hasyiah al-Kaafiyah “Sesungguhnya Imam as-Syafi’i (rh) telah menjelaskan dalam al-Umm keharaman mencukur janggut.”
Menurut fatwa Imam al-Ghazali dan Imam Nawawi (rh) bahawa“Mencukur janggut itu perbuatan mungkar dan dosa besar (kerana mencukurnya adalah perbuatan haram).”
Mazhab Hambali
Mazhab Hambali bersetuju tanpa kecuali bahawa diharam mencukur janggut (Al-Insaf, Sharh al-Muntaha).
Ibn Taimiyyah (rh) menyebutkan; “Diharamkan mencukur janggut.” Beliau menambah .. “Disebabkan hadis-hadis yang sahih, diharamkan mencukur janggut dan tidak ada siapa yang pernah membenarkannya.”
As-Saffarini (rh) berkata; “Adalah disepakati dalam mazhab kami (Hambali) bahawa diharamkan mencukur janggut.” (Ghitha al-Albab)
KADAR PANJANG JANGGUT MENGIKUT SYARIAH
Janggut adalah apa-apa yang tumbuh di muka iaitu rambut-rambut yang yang terdapat pada tepi muka kiri dan kanan yang bersambung dengan rambut di kepala yang dikenali jambang dan di bawah dagu.
Perintah Rasulullah (saw) jelas menunjukkan bahawa janggut sepatutnya dibiarkan tumbuh lebat.  Tambahan pula, Baginda (saw) dan para Sahabat (ra) mempunyai janggut yang lebat dan besar.
Tiada hadis sahih menunjukkan Rasulullah (saw) memendekkan janggutnya.  Tetapi, ada riwayat yang sahih daripada beberapa Sahabat terutamanya, Ibn Umar, Abu Hurairah dan Ibn Abbas (ra) menunjukkan mereka memotong janggut yang melebihi satu genggaman.  Terdapat juga riwayat dari kalangan ulama salaf melakukan perkara yang sama seperti Ibrahim an-Nakhai, Imam Malik dan Ahmad (rh).
Dalam sahih al-Bukhari disebut, “Semasa Ibn Umar (ra) mengerjakan haji dan umrah, beliau akan mengenggam janggutnya, bahagian mana yang lebih (dari genggamannya) dipotong.”
Oleh itu, dapatlah difahami bahawa janggut yang kurang dari segenggam tidak memenuhi maksud sunnah. Yang menyedihkan, ramai di kalangan agamawan pun tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh ulama salaf berkaitan dengan janggut ini. Mereka mengatakan perkara ini remeh-temeh dan kurang penting. Berbagai alasan yang kita dengar untuk mengelak dari melaksanakan sunnah wajib ini. Satu daripada hujah mereka ialah memelihara janggut adalah sunnah jibiliyyah (adat kebiasaan) orang ‘Arab. Fahaman ini bertentangan apa yang diputuskan oleh ulama salafus soleh dari generasi awal Islam.
Perlu diingat bahawa janggut juga perlu didandan dan dikemas. Janggut jangan dibiar terlalu panjang dan tidak terurus kerana umat Islam mesti kelihatan bersih dan kemas kerana imej umat Islam harus dijaga.
PENGECUALIAN
Syariah Islam adalah fleksibel dan praktikal kerana mengambilkira semua faktor sekelilingnya.  Bagi mereka yang mempunyai sebab-sebab tertentu seperti berkaitan rawatan perubatan yang memerlukan janggut perlu dicukur, maka syariah membenarkannya.
Ketika di bawah penguasaan musuh Islam dan orang yang zalim, jika dengan berjanggut ini boleh mengancam nyawa dan keselamatan, maka syariah mengharuskannya ia dicukur.
Kewajipan memelihara janggut adalah bagi mereka yang mempunyai janggut. Bagi mereka yang memang ditakdirkan tidak tumbuh janggut, mereka dikecualikan dari kewajipan ini. Seseorang mungkin boleh berikhtiar dengan melakukan ‘petua’ tertentu supaya janggutnya tumbuh serta berdoa’ agar Allah (swt) menumbuhkan janggutnya.
Sekian. Wallahu’alam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...