Hukum berkaitan dengan janggut masih menjadi
perbahasan di kalangan umat Islam hari ini sedangkan hukumnya telah pun
disepakati oleh ulama mujtahidin sekian lama.
Berkata Imam Ibn Hazm al-Andalusi (rh);
“Telah sepakat para
imam, bahawa mencukur janggut adalah perbuatan keji, tidak dibolehkan” (al-Muhalla)
Di antara dalil yang dikemukakan oleh para
ulama’ adalah berdasarkan hadis-hadis di bawah.
خا لفوا الشركين وفروا اللحي واحفوا الشوارب
Dari Ibn Umar (ra)
bahawa Rasulullah (saw) bersabda; “Janganlah kamu menyerupai orang-orang
musyrikin, peliharalah janggut kamu dan nipiskan misai kamu.” (HR Bukhari &
Muslim)
Dari Ibn Umar (ra) berkata bahawa “Kami telah
diperintahkan supaya memelihara janggut.” (HR Muslim)
اعفوا اللحي وجزواالشوارب ولا تشبهوابا ليهود والنصارى
Dari Abu Hurairah (ra) berkata bahawa
Rasulullah (saw) bersabda,“Peliharalah janggut kamu dan cukurlah misai
kamu, jangan kamu menyerupai Yahudi dan Nasrani.” (HR Ahmad)
جزواالشوارب وارخوااللحى
Dari Abu Hurairah (ra)
Rasulullah (saw) bersabda, “Cukurlah misai kamu dan peliharalah
janggut kamu.” (HR Muslim)
لاتشبهوا با لاعاخم , اعفوا اللحى
Dari Ibn Abbas (ra)
berkata: Rasulullah (saw) bersabda; “Janganlah kamu menyerupai ‘Ajam
(orang asing dan kafir), maka peliharalah janggut kamu.” (HR Al-Bazzar)
Hadis-hadis di atas adalah hadis bersifat
suruhan dan perintah. Maka para ulama telah memutuskan hukum memelihara janggut
dan mencukur (menipiskan) misai adalah wajib. Setiap perintah wajib dipatuhi
berdasarkan hadis di bawah.
Baginda (saw) bersabda; “Sesiapa yang
mentaati aku dia akan masuk syurga, dan sesiapa yang bermaksiat (enggan
mematuhi baginda), maka ia telah menolak (menolak sunah dan syurga)” (HR Bukhari)
Dari Anas (ra) bahawa Rasulullah (saw)
bersabda; “Sesiapa yang tidak suka terhadap sunnahku, maka dia
bukanlah golonganku.”(HR Bukhari & Muslim)
Maksud sunnah ialah setiap perkara yang datang
dari Rasulullah (saw) sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan dan
pengakuan. Sunnah Rasulullah (saw) ada yang bersifat wajib dan ada yang
bersifat mustahab / mandub (sunat). Memelihara janggut adalah sunnah wajib.
AMALAN RASULULLAH
(SAW) DAN PARA SAHABAT (RA)
Dari Jabir (ra) berkata; “Sesungguhnya
Rasulullah lebat janggutnya.” (HR Muslim)
Kesemua para Khulafa ar-Rasyidin memelihara
janggut mereka.
“Adalah Abu Bakr (ra)
lebat janggutnya, Uthman (ra) jarang (tidak lebat) janggutnya tetapi panjang,
dan Ali (ra) tebal janggutnya.”(HR Tirmizi)
Diriwayatkan Umar (ra) mempunyai janggut yang
tebal. (al-Ishobah, 2/511)
Berkata Bukhari, “Ibn Umar (ra)
menipiskan misai sehingga kelihatan kulitnya yang putih dan memelihara janggut
dan jambangnya.” (Fathul Bari, Ibn Hajar)
IJTIHAD ULAMA
MUJTAHIDIN DAN ULAMA FIQH
Para Imam Mujtahidin yang empat iaitu Hanafi,
Maliki, Syafi’i dan Hambali (rh) sepakat mengenai kewajipan memelihara janggut
dan haram mencukurnya.
Mazhab Hanafi
Menurut mazhab Hanafi bahawa “Dilarang
(diharamkan) bagi lelaki mencukur janggutnya… iaitu memotong janggut kurang
dari segenggam. Mencukur janggut sepenuhnya telah dilakukan oleh Yahudi
dan Majusi.” (Durr al-Mukhtar)
Allamah Ibn Abidin (rh) berkata; “Diharamkan
bagi lelaki mencukur janggutnya.” (Radd al-Mukhtar)
Mazhab Maliki
Ulama Maliki menyatakan bahawa “Mencukur
janggut adalah diharamkan kerana mencukurnya adalah perbuatan keji. Tapi jika
ia semakin besar, dan jika memotong tidak dilihat sebagai mencukurnya, maka ia
boleh dipotong (trim), tapi ia dikira makruh dan bertentangan dengan apa yang
lebih baik.” (Sharh al-Risalah)
Al-‘Adwi (rh) berkata; “Diriwayatkan
dari Imam Malik (rh) bahawa beliau tidak menyukai perbuatan mencukur apa-apa
yang di bawah rahang, sehingga ia berkata, ‘Ia adalah perbuatan Majusi.’
Dan diharamkan mencukur helaian-helaian janggut” (ibid)
Ibn ‘Abd al-Barr (rh) berkata; “Diharamkan
mencukur janggut, ia tidak dilakukan melainkan lelaki yang menyerupai
perempuan.”(At-Tahmid)
Mazhab Syafi’i
Imam Syafi’i (rh) dalam kitab al-Umm
menegaskan bahawa,“Mencukur janggut adalah haram hukumnya tanpa
‘illah (iaitu pengharamannya tanpa dalih-dalih lagi).”
Berkata Ibn Rif’ah (rh) dalam Hasyiah
al-Kaafiyah “Sesungguhnya Imam as-Syafi’i (rh) telah menjelaskan
dalam al-Umm keharaman mencukur janggut.”
Menurut fatwa Imam al-Ghazali dan Imam Nawawi
(rh) bahawa“Mencukur janggut itu perbuatan mungkar dan dosa besar (kerana
mencukurnya adalah perbuatan haram).”
Mazhab Hambali
Mazhab Hambali bersetuju tanpa kecuali bahawa
diharam mencukur janggut (Al-Insaf, Sharh al-Muntaha).
Ibn Taimiyyah (rh) menyebutkan; “Diharamkan
mencukur janggut.” Beliau menambah .. “Disebabkan hadis-hadis yang sahih,
diharamkan mencukur janggut dan tidak ada siapa yang pernah membenarkannya.”
As-Saffarini (rh) berkata; “Adalah
disepakati dalam mazhab kami (Hambali) bahawa diharamkan mencukur
janggut.” (Ghitha
al-Albab)
KADAR PANJANG JANGGUT
MENGIKUT SYARIAH
Janggut adalah apa-apa yang tumbuh di muka
iaitu rambut-rambut yang yang terdapat pada tepi muka kiri dan kanan yang
bersambung dengan rambut di kepala yang dikenali jambang dan di bawah dagu.
Perintah Rasulullah (saw) jelas menunjukkan
bahawa janggut sepatutnya dibiarkan tumbuh lebat. Tambahan pula, Baginda
(saw) dan para Sahabat (ra) mempunyai janggut yang lebat dan besar.
Tiada hadis sahih menunjukkan Rasulullah (saw)
memendekkan janggutnya. Tetapi, ada riwayat yang sahih daripada beberapa
Sahabat terutamanya, Ibn Umar, Abu Hurairah dan Ibn Abbas (ra) menunjukkan
mereka memotong janggut yang melebihi satu genggaman. Terdapat juga
riwayat dari kalangan ulama salaf melakukan perkara yang sama seperti Ibrahim
an-Nakhai, Imam Malik dan Ahmad (rh).
Dalam sahih al-Bukhari disebut, “Semasa Ibn
Umar (ra) mengerjakan haji dan umrah, beliau akan mengenggam janggutnya,
bahagian mana yang lebih (dari genggamannya) dipotong.”
Oleh itu, dapatlah difahami bahawa janggut
yang kurang dari segenggam tidak memenuhi maksud sunnah. Yang menyedihkan,
ramai di kalangan agamawan pun tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan
oleh ulama salaf berkaitan dengan janggut ini. Mereka mengatakan perkara ini
remeh-temeh dan kurang penting. Berbagai alasan yang kita dengar untuk mengelak
dari melaksanakan sunnah wajib ini. Satu daripada hujah mereka ialah memelihara
janggut adalah sunnah jibiliyyah (adat kebiasaan) orang ‘Arab. Fahaman ini
bertentangan apa yang diputuskan oleh ulama salafus soleh dari generasi awal
Islam.
Perlu diingat bahawa janggut juga perlu
didandan dan dikemas. Janggut jangan dibiar terlalu panjang dan tidak terurus
kerana umat Islam mesti kelihatan bersih dan kemas kerana imej umat Islam harus
dijaga.
PENGECUALIAN
Syariah Islam adalah fleksibel dan praktikal
kerana mengambilkira semua faktor sekelilingnya. Bagi mereka yang
mempunyai sebab-sebab tertentu seperti berkaitan rawatan perubatan yang
memerlukan janggut perlu dicukur, maka syariah membenarkannya.
Ketika di bawah penguasaan musuh Islam dan
orang yang zalim, jika dengan berjanggut ini boleh mengancam nyawa dan
keselamatan, maka syariah mengharuskannya ia dicukur.
Kewajipan memelihara janggut adalah bagi
mereka yang mempunyai janggut. Bagi mereka yang memang ditakdirkan tidak tumbuh
janggut, mereka dikecualikan dari kewajipan ini. Seseorang mungkin boleh
berikhtiar dengan melakukan ‘petua’ tertentu supaya janggutnya tumbuh serta
berdoa’ agar Allah (swt) menumbuhkan janggutnya.
Sekian. Wallahu’alam.
0 comments:
Post a Comment