Apabila menyentuh soal perkahwinan, ramai golongan yang
dikira layak untuk berkahwin seperti merasakan ia agak sukar untuk
dilaksanakan. Mungkin terpaksa berhadapan dengan masalah wang hantaran yang
semakin meningkat tinggi. Ataupun masih lagi menganggap belum lagi bersedia
melangkah ke alam rumah tangga. Banyak kisah yang diriwayatkan oleh para sahabat
tentang perkahwinan ini.
Pada suatu ketika seorang perempuan datang berjumpa Nabi
Muhammad SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk
menyerahkan diriku kepadamu. Lalu Nabi SAW memandang kepadanya sambil mendongak
kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian Baginda mengangguk-anggukkan
kepalanya.
Apabila perempuan itu mendapati Nabi Muhammad SAW diam tanpa
memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat
dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya, maka
kahwinkanlah aku dengannya.”
Mas kahwin
Nabi SAW segera bertanya: “Adakah engkau memiliki sesuatu
yang boleh dijadikan mas kahwin. Sahabat menjawab: Tidak ada! Nabi SAW
bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas
kahwin.”
Lantas sahabat itu pulang, kemudian beliau kembali menemui
Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh
dijadikan mas kahwin. Maka Nabi SAW bersabda lagi: Carilah walaupun sebentuk
cincin besi.”
Lalu sahabat itu pulang dan datang kembali serta berkata:
“Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk
cincin besi tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh
menutupi bahagian bawah badannya.” (Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang
menutup bahagian atas badan).
Nabi SAW bersabda: “Apa yang engkau boleh buat dengan kain
engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan itu tidak dapat
memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain itu engkau tidak
mempunyai apa-apa untuk dipakai.”
Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun.
Nabi SAW memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu
Baginda SAW memerintahkan supaya dia dipanggil.
Apabila sahabat itu sampai, Nabi SAW bertanya: “Apakah yang
engkau miliki daripada al-Quran?”
Sahabat itu menjawab: “Aku hafaz surah itu dan surah ini.
Sahabat berkenaan menghitungnya, Nabi SAW bersabda lagi: Adakah engkau
membacanya secara hafalan? Sahabat tersebut menjawab: Ya! Nabi SAW bersabda:
Pergilah! Engkau telah memilikinya bermaskahwinkan ayat atau surah al-Quran
yang engkau hafaz.”
Perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah SAW
yang juga penyelesaian terbaik terhadap tuntutan fitrah manusia di samping
mengatasi masalah sosial dalam masyarakat. Orang yang berkahwin dapat mengatur
kehidupan yang baik, sempurna dan penuh bertanggungjawab.
Firman Allah SWT bermaksud: “Antara tanda kekuasaan-Nya
ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan (jodoh) bagi kamu daripada (makhluk)
jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram
dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu.
Sesungguhnya dalam hal itu terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi orang yang
berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Perbanyakkan puasa sunat jika tak mampu berkahwin
Islam menggalakkan umatnya yang tidak mempunyai kemampuan
berkahwin memperbanyakkan puasa sunat sebagai cara mengawal nafsu.
Sabda Nabi SAW: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa daripada
kalangan kamu yang mempunyai kemampuan, maka nikahlah. Sesungguhnya dengan
pernikahan itu akan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang
tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu mengekang/mengawal syahwat.” (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Pada dasarnya, hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam
adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan dan mempunyai nafsu yang kuat
sehingga boleh menjerumuskan ke lembah maksiat.
Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan Imam al-Shafie,
golongan pemuda yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30 tahun,
kebiasaannya mempunyai nafsu yang tinggi, semangat yang kuat, tenaga yang
berlebihan dan ingin mencuba pelbagai perkara.
Maka sewajarnya, mereka yang berusia sebegini diberi
perhatian agar segera dan dipermudahkan urusan perkahwinan bagi mengelak
perkara yang tidak elok dan seharusnya diingati bahawa dasar hukum perkahwinan
yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan kepada sesiapa pun.
0 comments:
Post a Comment